Sejarah Bahagian


Sejarah Bahagian

Keluasan & Kepadatan Populasi

Sejarah Ringkas Penubuhan Bahagian Samarahan


Kota Samarahan duhulunya hanya merupakan sebuah perkampung yang terpencil yang dikenali sebagai Daerah Kecil Muara Tuang yang terletak di tebingan Batang Samarahan dibawah pentadbiran Bahagian Pertama (Kuching)Ianya hanya boleh dihubungi melalui Sungai Samarahan dengan bot penambang atau perahu.

Pada tahun 1983 Daerah Kecil Muara Tuang telah pun dinaiktaraf sebagai Daerah penuh dan telah ditukar nama dengan Kota Samarahan. Kawasan daerah Samarahan merangkumi kawasan Asajaya sebagai daerah kecil. Sejak itulah Kota Samarahan mula berkembang dengan pembangunan seperti bekalan air dan letrik serta bangunan-bangunan Jabatan Kerajaan seperti Pejabat Daerah, Klinik Kesihatan, Pejabat Pertanian Daerah dan juga Kuarters bagi kediaman kakitangan kerajaan yang berkhidmat disitu.


Pada tahun 1987 sekali lagi Kota Samarahan telah diberi pengiktirafan dengan dinaikkan taraf sebagai Bahagian yang ke lapan dengan meluaskan lagi keluasan pentadbirannya yang merangkumi daerah-daerah Serian dan Simunjan.

Dengan wujudnya pusat pentadbiran bahagian tersebut maka Pejabat Residen Bahagian Samarahan memulakan operasinya dengan menggunakan bangunan Pejabat Daerah Samarahan yang ada sekarang sebelum berpindah ke bangunannya sendiri pada tahun 1990 yang diketuai oleh Tuan Haji Bolhen bin Haji Nor yang telah dilantik sebagai Pemangku Residen Bahagian Samarahan pada 1 September 1987 dn terus menjawat jawatan hakiki Residen sehingga 24 September 1993.

Sebagai sebuah pusat pentadbiran yang baru membangun, maka pelbagai kajian telah dilakukan dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan di kawasan tersebut.

Pada ketika itu, keadaan geografinya yang berpaya serta sukar untuk dibangunkan, aktiviti pertanian yang diusahakan adalah sekadar untuk sara diri sahaja. Atas usaha yang proaktif Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan Pelan Induk Pembangunan yang komprehensif bertunjangkan falsafah Politik Pembangunan. Projek IADP Samarahan yang dilaksanakan di Bahagian ini merupakan objektif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan memperluaskan lagi kawasan penanaman nenas, buah-buahan dan sayur-sayuran.




Sungguhpun demikian, kesungguhan pihak kerajaan untuk membangunkan Bahagian ini hanya akan menjadi sia-sia sekiranya minda penduduk tempatan masih belum terbuka untuk berhadapan dengan rentak pembangunan yang dijana yang mana ianya memerlukan kesediaan, pengorbanan dan peranan penduduk tempatan dalam konteks memberi sumbangan mereka kepada proses pembangunan itu sendiri.

Hari ini ternyata sekali segala usaha itu telah menjadi kenyataan dengan pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat dengan adanya Institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, Institut Perguruan Tun Abdul Razak selain dari sebuah Pusat Perubatan Antarabangsa (Sarawak International Medical Centre) yang baru saja siap dibina. kini Samarahan telah membangun dengan begitu pesatnya dan dikenali sebagai Pusat Ilmiah dan pusat pengeluaran makanan.

Kini Samarahan tidak lagi asing khususnya kepada masyarakat dalam dan luar dari negeri Sarawak. Pertambahan penduduknya kian meningkat kesan dari pembinaan kawasan-kawasan perumahan yang didiami bukan saja dari kalangan warga tempatan malahan turut mengundang penduduk dari luar kawasan untuk bermastautin disini