Penternak Ikan Keli Punyai Prospek Cerah


Berita Semasa

SEBUYAU 13.03.2009: Penternak ikan keli mempunyai prospek yang cerah sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh peserta yang mengusahakannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.22 Sebuyau, Haji Julaihi Haji Narawi berkata, banyak mana sekalipun latihan dan peluang yang disediakan oleh kerajaan serta pihak yang berkaitan jika tidak ada kesungguhan di kalangan peserta maka potensi ikan keli atau mana-mana penternakan ikan tidak dapat dieksplotasi sepenuhnya untuk tujuan komersial.

Menurutnya, penternakan ikan keli merupakan satu potensi baru yang boleh diterokai disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Unit Pembangunan Usahawan dengan pihak yang berkaitan.

"Dengan kesungguhan saya yakin ternakan ikan keli boleh menjadi satu perniagaan jika dijalankan oleh peserta dengan kesungguhan yang tinggi ditambah input yang disediakan oleh kerajaan serta bantuan kewangan daripada badan tertentu" katanya, ditemui selepas Program Keusahanan Ternakan Ikan Keli FAsa I di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau hari ini. Beliau mewakili Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Haji Mohd Naroden Haji Majais pada majlis itu.

Katanya, pihak berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Agrobank dan TEKUN boleh membantu peserta untuk mengambangkan lagi perniagaan melaui tunjuk ajar dan pinjaman kewangan untuk memulakan penternakan. "Kita mahu peserta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau mengambil peluang untuk menceburi bidang ini (ternakan ikan keli) walaupun perniagaan ini adalah sesuatu yang baru, jelasnya.

Kursus yang diadakan selama dua hari itu dianjurkan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera Bahagian Samarahan dan Jabatan Pertanian Sarawak disertai seramai 37 orang peserta dari sekitar Daerah Kecil Sebuyau.




YB Hj. Julaihi ketika berucap merasmikan kursus tersebut





Alami Rashid menyampaikan ceramah pada kursus tersebut




Dr. Rosni Bakar dari UPUB, JKM menyampaikan cenderamata kepada penceramah Alami Rashid